Thursday 31 October 2013

Hati Mula Membina Takbur

"Bismillah, bacalah dengan nama Tuhan yang menjadikan." Surah al-Alaq 96: 1

Melalui sebuah buku yang isinya digarap dengan sempurna saya amat berminat untuk berkongsi sedikit mengenai hati yang sedang membina sikap takbur ini. Takbur lebih sinonim dengan mereka yang merasakan dirinya jauh lebih baik dari orang lain dan memandang orang lain dengan kekurangan sahaja.

"...Sombong itu adalah menolak kebenaran dan menghina manusia lain." (Riwayat Muslim no.275)

Antara tiga ciri utama takbur mengikut para ulama ialah 
merasa diri lebih baik
menghina orang lain
menolak kebenaran.

Kenali hati kita andainya sikap takbur ini semakin berputik,

1) Tidak suka berdoa. Doa ini lambang kehambaan pada Allah. Memperlihatkan sejauh mana kita meletakkan sikap kebergantungan kita terhadap Maha Pencipta. Sekiranya kita sangat berat tangan untuk memohon doa, jelaslah menunjukkan bahawa kita seolah-olah tidak memerlukan pertolongan Allah.

2) Individu yang mula membina sikap takbur ini mudah terluka iaitu terlalu sensitif dan sering kali melukakan hati individu lain. Individu yang memiliki ego yang tidak kena pada tempatnya, selalu mudah melukakan hati orang lain dengan sikapnya, lisannya juga tindakannya sendiri. Ironinya, mereka ini turut mudah tersinggung dengan persekitaran, mudah rasa disindir, paranoid dan bersangka buruk kerana merasakan hanya pendapatnya sahaja yang betul dan susah menerima pendapat individu lain.

3) Sukar memaafkan orang lain dan meminta maaf. Secara logiknya Allah sendiri yang Maha Besar itu memiliki sifat pemaaf yang meluas. Bayangkan hidup kita di dunia ini tanpa sifat pemaaf dan belas ihsan dari-Nya. Dengan hidup kita yang dipaliti dosa saban hari, adakah masih mampu kita mengaku kita berhak hidup di atas dunia ini. Besar sangatkah kita sehingga liat untuk meminta satu kemaafan?

4) Orang takbur ini sangat gemar berkata-kata namun membenci untuk mendengar. Seringkali mahu menjuarai sesuatu perbualan dan setiap perbualan itu sering didefinisikan sebagai "pertandingan". Kehidupan kita ini mestilah ada sifat memberi dan menerima. Letakkan sikap suka mendengar sebagai amalan utama, "The first duty of love is to hear". Orang takbur sering ketandusan cinta dunia gara-gara memekakkan telinga untuk mendengar suara orang disekelilingnya. Alangkah ruginya.

5) Gila kuasa juga jawatan. Bukan tidak boleh kita berlumba-lumba memegang jawatan tetapi haruslah kita mengukur kemampuan dan kreadibiliti diri kita. Malah meletakkan niat kita untuk memacu agama Allah mendahulukan redha Allah dalam sesebuah organisasi yang kita uruskan. Letakkan kualiti bekerja sebagai keutamaan bukan populariti  semata-mata.

6)  Siapa yang tidak sukakan pujian. Pastinya bila dipuji kita terasa hilang segala penat lelah bekerja. Tetapi awas bila pujian berlebihan mampu membolak-balik hati kita yang lemah ini. Hinggakan pujian menjadi kegilaan, hati tergadai iman menjadi taruhan. Pujian yang salah digunakan samalah ibarat menempah untuk membutaka mata hati sendiri. Krediabiliti kerja itu ditentukan oleh kualiti hati!


"Janganlah kamu berasa hina dan jangan kamu berasa sedih. Kamulah orang yang tinggi jika kamu beriman." (Ali Imran 3: 139)

Lawanlah takbur dengan tawaduk. Ayuh! Dapatkan vaccine tawaduk untuk hati kita hari ini.


No comments:

Post a Comment