Thursday 7 November 2013

Hasad Bukanlah Raja di Hati

"Bismillah. bacalah dengan nama Tuhan yang menjadikan." Surah al-Alaq 96: 1

Hasad merupakan perkataan yang sering menjadi halwa telinga kita. Setiap manusia di muka bumi ini memiliki kompilasi sikap yang berbeda-beda. Mungkin ada yang terlalu lembut dan sangat tinggi belas ihsannya malah ada pula yang keras lantas tinggi egonya. Ragam manusia ini menarik kita untuk menilai, memilih siapakah antara mereka yang menjadi sahabat kita dan memerhatikan setiap gerak geri yang dipersembahkan. Rasulullah SAW telah mengumpamakan salah satu sikap manusia iaitu hasad sebagai api yang akan membakar segala amal kebaikannya. Malah hati yang memiliki hasad ini mudah sekali meruntuhkan institusi persaudaraan.

Lihat, sifat hasad ini bukan sahaja menjadi satu masalah hati kepada individu tetapi melibatkan seluruh komuniti berhampiran individu yang memiliki sifat ini. Signifikannya begini, jika rumah terbakar atau sesebuah kawasan semak terbakar. Api yang marak jika tidak dibendung malah dibiarkan terus ditiup angin, maka api akan terus marak dan membakar rumah-rumah lain atau kawasan semak yang lain. Begitulah analoginya sifat hasad yang membakar empunya diri dengan hati yang resah, tidak senang melihat kelebihan orang lain, sangat iri hati dan memusnahkan orang lain. Merebak bukan?

Jika dilihat punca "Hasad Disorder" atau PHD ini berlaku semuanya berbalik pada iman di hati. Bukan tiada iman, cuma lemah tahap iman. Seperti yang tertulis di dalam al-Quran bahawa orang-orang yang beriman pastinya menjaga hubungan baik dalam bersaudara. Kuat iman, kuatlah persaudaraan. Semangat untuk memudahkan urusan orang lain juga tinggi. Sentiasa mahu disisi kala kesusahan. Bangga dengan pencapaian saudara kita. Begitulah manisnya iman. Maka jika hatinya makin turun iman, hilanglah manis bersaudara. Yang tinggal rasa kelat, rasa pahit. Yang terhidang dihadapan mata cuma rasa iri hati dan tidak puas hati pada saudara sendiri. Dalam hadis juga disebut tidak berimana seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri. Hebat bukan jika kita merasa nikmat iman??



Hakislah Rasa Hasad, Guna Peluntur Iman

1) Meningkatkan penghayatan dalam prinsip akidah dan belajar dengan lebih mendalam. Dalam usaha membetulkan paradigma seseorang dalam kehidupan, haruslah mata hati yang dibuka seluas-luasnya. Jangan lelah untuk membina sifat rendah hati, sabar, redha serta mendahulukan saudara kita. Tidak rugi jadi insan yang sentiasa memuliakan orang lain. Hayatilah prinsip-prinsip akidah Islamiah untuk memahami apa itu takdir, hikmah disebalik setiap yang Allah aturkan. Sesungguhnya Allah tidak akan memberikan sesuatu yang diluar kemampuan kita.

2) Meningkatkan kefahaman kita mengenai impak memiliki sifat hasad. Sentuhlah hati kita sebelum kita menyentuh hati orang lain. Kenali selok belok hati moga-moga kita dijauhi tipu daya nafsu dan syaitan. Ilmu yang berkaitan perihal hati ini dinamakan ilmu tasawuf ataupun akhlak.

3) Sifat hasad ini janganlah dilahirkan dalam bentuk ucapan mahupun lisan yang boleh menyakitkan hati orang lain atau menyusahkannya. Apabila wujud dalam hati rasa untuk mengumpat, mencerca atau memburukkan sesiapa. Berhentilah. Cari sesuatu jalan yang boleh menenangkan anda seperti melihat pemandangan hijau, ambil wudhuk, jauhi perbincangan yang boleh mendatangkan umpatan dan ingatlah kesilapan juga dosa yang terpalit pada kita. Sesungguhnya mengingati dosa sendiri mampu menjadikan kita insan yang rendah diri. seperkara lagi ingatlah kebaikan orang terhadap kita juga sumbangannya. Beristighfar kepada Allah dan bertaubatlah dengan segera. Selalulah mengingati mati. Hidupkanlah MATI itu di dalam hati agar kita selalu ingat bahawa di dunia ini kita tidak memiliki apa-apa melainkan iman, islam dan taqwa.

4) Doa itu senjata orang mukmin. Maka untuk menjauhi sifat hasad berdoalah dengan yakin kepada Allah dengan sebenar-benar keyakinan agar dihapuskan sifat hasad yang membuak-buak itu. Sila rujuk dan amalkan ayat dalam surah al-Hasyri 59:10 sebagai doa harian kita. Berdoalah yang baik-baik untuk diri kita juga untuk orang yang kita berasa iri hati itu. Semoga keduanya memperoleh kebaikan di dunia dan di akhirat

"Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami dan jangalah Engkau tanamkan perasaan hasad dengki dalam hati kami terhadap orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang." al-Hasyri 59: 10


"Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang lebih baik, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap kamu akan menjadi seorang sahabat karib yang setia." Fushilat 41: 34


p/s: Untuk rujukan lebih panjang dan menarik sila rujuk buku Semuanya Soal Hati 


No comments:

Post a Comment