Saturday 7 December 2013

Luruskan Aku di Jalan Dakwah

"Bismillah. bacalah dengan nama Tuhan yang menjadikan." Surah al-Alaq 96: 1

Ada sesetengah orang dakwah yang suka mempergunakan nama Allah dan Islam bila kadangkala dia telah silap pada cara dakwahnya sehingga membuatkan dia dan kumpulannya ditentang atau tidak disukai. 

Apa contohnya?

"Inilah ujian Allah ke atas orang yang bekerja di jalan-Nya. Janganlah kamu merasa rendah dan bersedih hati."

"Bersabarlah. Inilah halangan-halangan di atas jalan dakwah."

"Biarlah amal yang berbicara."

Kadangkala, hujah-hujah sebegini digunakan hanya sebagai penyelamat dan perisai untuk diri sendiri setelah memang tiada kebenaran lagi untuk dipertahankan pada dirinya, tetapi dia masih berkeras bahawa dirinyalah yang betul.

Akhirnya, ayat-ayat sebeginilah yang keluar sebagai pemanis mulut, pemujuk hati, padahal dirinya juga ada melakukan kesilapan.

Hakikatnya, orang-orang yang mengaku bawa dakwah, kadangkala perlu muhasabah diri semula, kenapa dirinya ditentang? Adakah betul orang tidak suka dengan dakwahnya, atau pun sebenarnya orang tidak suka caranya yang terburu-buru, gopoh dan bersifat memaksa itu?

Orang sebenarnya bukan tidak suka dengan dakwah kita. Tetapi kadangkala kerana sikap kita menyebabkan orang jauh hati dengan kita.

Kita mengaku bawa dakwah, tapi terburu-buru nak bawa orang masuk ikut kumpulan kita.

Kita mengaku bawa dakwah, tapi cara kita mendekati orang membuatkan orang rasa terpaksa dan terbeban.

Kita mengaku bawa dakwah, tetapi tamak kedudukan.

Kita mengaku bawa dakwah, tetapi selepas orang yang kita ajak itu menolak atau tidak bersama kita lagi, kita mula nak bermasam muka dan tidak layan dia. Kalau dulu jumpa di tengah jalan bukan main lagi manisnya muka bertegur sapa, tetapi selepas ditolak, jumpa tengah jalan pun buat tak tahu saja. Siap tarik muka lagi.

Kitalah yang tidak jujur sebenarnya. Kita bawa dakwah kepada Islam atau kepada kumpulan?

Kadangkala, kita yang tersilap menyebabkan diri kita ditentang. Tetapi, mudahnya sesetengah kita untuk menyelamatkan diri kita, akhirnya menggunakan hujah-hujah di atas sebagai perisai untuk diri sendiri.

Orang dakwah perlu berhati-hati juga. Kadangkala orang dakwah juga suka mempergunakan agama untuk kepentingan dan pengaruh sendiri. Bila kadangkala kita sendiri yang bergerak dengan cara salah sehingga menyebabkan orang tidak suka dan menolak apa yang kita sedang buat, kita pun mengatasnamakan agama untuk menyelamatkan diri kita.

Jangan kita 'pergunakan' nama Allah atas kesalahan yang kita sendiri lakukan semata-mata untuk membenarkan tindakan kita.

Berlaku jujurlah ketika membawa Islam.




Petikan dari page Afdholul Rahman CA Langit Ilahi

Dititipkan disini sebagai peringatan sepanjang jatuh cinta di jalan dakwah ini



No comments:

Post a Comment